Tips “Study Last Minute”

dikongsi dari http://langitilahi.com/

Peluang, ruang dan  kesempatan yang ada : Manfaatkan!

Last minute, di penghujung masa atau tidak punyai harapan bukanlah suatu yang berbau negatif atau pasif. Walau bagaimana pun persiapan dan persediaan kita – setiap saat yang ada adalah sangat-sangat berharga! Kerana itu, strategi yang baik perlu digerakan agar study last minute boleh kita manfaatkan walaupun kita ini kaki study dan ulat buku.

Apakah strategi tersebut? Saya kongsikan beberapa langkah yang dicedok daripada ahli-ahli studi yang pakar serta terbukti kejayaan mereka. Antaranya :

(1) Enjoy the moment!

“ Jadikan peperiksaan sebahagian daripada hidup anda!”

Rasailah, hayatilah dan bergembiralah dengan musim peperiksaan anda! Secara logiknya, sememang sukar bagi kita untuk merasai seronok dengan peperiksaan. Tetapi, asas inilah yang harus kita letakan di minda dan jiwa.

(2) Fokus, fokus dan fokus

Apa itu fokus?

Saya bersembang dengan seorang sahabat saya, katanya – fokus ibaratnya sebegini :

“ Kamu pegang sekeping talam yang dipenuhi air di dalamnya, perlu membawanya dari satu tempat ke satu tempat tanpa membiarkan walaupun setitis air tumpah ke bawah.”

Kita akan penuh berhati-hati menatang talam tersebut sambil langkahan kaki yang cermat, halus dan tulus. Diri amat-amat tenang dan aman. Serta tiada terburu-buru lagi kalut!

Maknanya – kita harus teliti, memberi 100 % perhatian dan tentunya ada strategi yang praktikal. Boleh kan?

(3)Study Group yang berkesan

Seterusnya, belajar dan buat ulangkaji secara berkumpulan. Mudah sahaja saya ingin sebut tentangnya. Kunci utama kepada study group ialah keberkatan!

Kenapa?

Di sini, wujudnya semangat bantu-membantu, tolong-menolong dan bekerjasama. Bayangkan – suasana gembira, harmoni dan tolak ansur yang sangat baik akan mewarnai perjalanan study group kita jika semuanya bersepakat dan satu hati. Justeru, amat malang bagi mereka yang belajar tetapi tidak pernah ada study group.

(4) Latih tubi yang berterusan

Saat-saat akhir juga, amat penting untuk membiasakan kita dengan format-format kertas peperiksaan dan teknik menjawab. Latih tubi soalan-soalan yang lepas adalah kaedah ulangkaji yang terbaik, praktikal dan menepati suasana musim peperiksaan.

Akar dan dasarnya : – Kita buat, buat dan terus buat latih tubi sehingga kita selesa, yakin dan mampu meramal bentuk-bentuk soalan yang mendatang. Itulah kesan dan hasilannya, Insya-Allah.

(5) Minta keampunan daripada Allah SWT

Musim-musim peperiksaan ini, disamping sibuk dengan studi, ulangkaji dan sebagainya – usahlah kita lupa kepada Sang Maha Kuasa yang menentukan segalanya.

Banyakan memohon keampunan kepada Allah SWT di atas segala kelalaian, kesalahan dan kesilapan kita. Walaupun, kita rasa kita tidak berbuat salah! Sememangnya, kita ini hamba Allah SWT yang banyak dosa dan bintik-bintik hitam di hati.

Solat taubat sebanyaknya dan lazimi istighfar setiap masa dan ketika. InsyaAllah.

(6) Doa, Solat Hajat dan Tawakkal kepada Allah SWT.

Akhirnya, tidak dapat tidak – Kita harus kembali kepada Allah SWT. Sebagai hamba Allah SWT yang lemah, kecil dan kerdil kita perlu mendekati-Nya setiap masa dan ketika.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Wahai umat manusia, kamulah Yang sentiasa memerlukan  kepada Allah (dalam Segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”

( Al-Fatir 35 : 15)

Solat hajat kita perkasakan, doa dilabuhkan sentiasa dan hubungan sifat tawakkal kita kepada Allah SWT dengan usaha yang semaksima.

Penutup : Alangkah Untungnya Kita

Berbahagia dan beruntunglah kita jika kita telah berusaha semaksima dan bersungguh-sungguh untuk memberikan yang terbaik. Yakinlah Allah SWT, akan memandang setiap titik peluh kita serta segala usaha untuk memetik kejayaan di penghujungnya.

Jika kita memperolehi kemenangan dan kejayaan yang cemerlang, – Alhamdulillah – bersyukurlah. Jika sebaliknya, – bersabar dan redhalah – kerana tiadalah istilah kegagalan, kecuali Allah SWT tangguhkan kejayaan sementara  waktu agar kita terus berusaha dan berusaha.

Ketahuilah, melalui usaha ini – terdapat banyak pahala dan ganjaran daripada Allah SWT. Itulah Rabb yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

————

Formula Kita :

Usaha maksima + Strategi berkesan + Doa Tawakkal berterusan = Kejayaan Digenggam^^